Thursday, May 8, 2008

Penstrukturan subsidi tak jejas rakyat gaji kecil

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan terus mendapat manfaat apabila skim subsidi distruktur semula berikutan kenaikan harga minyak mentah yang semakin melonjak di pasaran dunia. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kenaikan harga minyak mentah dunia antara AS$100 hingga AS$120 setong menyebabkan tanggungan subsidi kerajaan meningkat kepada RM45 bilion tahun ini. Daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah bagi subsidi produk petroleum, RM7 bilion dalam bentuk pelepasan cukai dan RM20 bilion tanggungan subsidi gas Petronas.

"Kami akan menyusun semula keseluruhan skim subsidi ini yang dijangka bertambah kepada RM45 bilion tahun ini dan terus meningkat. Penyusunan semula itu akan mengambil kira keperluan pihak yang memerlukannya, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah. "Kami akan membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya selepas melancarkan logo baru RHB Bank Group di sini, semalam. Turut hadir ialah Pengerusi RHB Banking Group, Datuk Azlan Zainol. Nor Mohamed berkata, penstrukturan semula skim subsidi itu perlu dilakukan segera kerana keadaan semakin terdesak berdasarkan harga minyak mentah yang terus melonjak sehingga melebihi paras AS$120 setong ketika ini.

Kelmarin, harga minyak melonjak ke paras tertinggi baru sebanyak AS$122.73 setong di pasaran dunia berikutan kebimbangan bekalan dan kelemahan dolar Amerika Syarikat. Harga komoditi itu berada pada paras melebihi AS$122 setong, semalam. Beliau menjelaskan, penstrukturan semula skim subsidi itu dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat mingguan jawatankuasa khas kerajaan bagi memantau kenaikan inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun beliau tidak menyatakan bila kerajaan akan melaksanakan penstrukturan semula skim subsidi itu, penganalisis menjangkakan perkara itu akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2009, Ogos ini.

1 comment:

AIDC said...

salam,

ada masa mohon tonton video2 ni..

Video 1

http://www.youtube.com/watch?v=JEYnh9Yvtew

Video 2

http://www.youtube.com/watch?v=mrNv44WoJck&feature=related

sumber :

http://www.anwaribrahimdotcom.blogspot.com/