Wednesday, May 7, 2008

Usaha satukan Melayu mesti bebas unsur peribadi

APABILA beberapa persatuan yang ditunjangi orang Melayu ingin bermuafakat untuk menyatukan bangsa demi keutuhan perjuangan dan hala tuju, maka seluruh umat Melayu di negara ini amat mengalu-alukan hasrat murni itu. Atas apa nama sekalipun penubuhan gagasan bertitik tolak daripada Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor pada 2 Mei hingga 4 Mei lalu, ia mestilah ditubuhkan menerusi satu wadah yang tidak lain bertujuan melindungi hak orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gapena dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam kongres itu mengambil inisiatif untuk menyediakan gagasan bagi semua pertubuhan berteraskan Melayu menggembleng pemikiran dan kekuatan suara bersifat neutral politik demi survival ummah Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi.

Apa yang perlu ditekankan di sini semua persatuan ini wajar bersatu atas nama keikhlasan untuk memastikan hasrat mereka sampai kepada seluruh kaum Melayu seantero Malaysia. Hasrat itu walaupun jelas, ia perlu dilaksanakan ibarat menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak rambut tak putus. Orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 dihambat rasa keliru dan buntu apakah yang terjadi hingga 124 saja kerusi Parlimen milik orang Melayu termasuk yang dimenangi Umno, Pas, PKR dan parti dari Sarawak.

No comments: